Majlis pragraduasi Kolej Shahputra rai 55 pelajar
KUANTAN 11 Mei – Setelah tiga tahun bergelumang dengan buku dan kertas kerja, sekumpulan 55 pelajar akhirnya bakal mencapai impian mereka untuk bergelar siswazah.
Para graduan yang terdiri daripada pelajar program Diploma Pengurusan Harta Tanah, Diploma Senibina dan Diploma Sains Komputer Multimedia itu diraikan pada Majlis Pragraduasi Kolej Shahputra-Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini baru-baru ini.
Mereka bakal menduduki peperiksaan semester akhir pada minggu depan selama dua minggu sebelum menamatkan pengajian masing-masing.
Majlis pragraduasi itu dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Kolej Shahputra, Datuk Azman Zaini Abdul Ghani.
Turut hadir, isteri beliau, Datin Zuzieyati Idham selaku Pengarah Urusan Kolej Shahputra.
Semua sijil graduasi disampaikan oleh Azman Zaini.
Dalam ucapannya, Ahmad Zaini melahirkan rasa bangganya dengan pencapaian Kolej Shahputra yang banyak melahirkan pelajar terbaik pada masa ini.
“Saya berharap para pelajar akan sentiasa mengingati Kolej Shahputra walau ke mana pun kamu pergi,” katanya.
Ketua Program Kolej Shahputra, Mazlan Ahmad pula berkata, banyak pengalaman pahit manis yang dilalui bersama pelajar UTM di Kolej Shahputra.
“Saya banyak memberi teguran kepada pelajar dan segala teguran itu demi untuk melihat kejayaan pelajar semua,” katanya.
Menurut Mazlan, Kolej Shahputra sedaya upaya berusaha memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar.
Beliau turut berterima kasih kepada ibu bapa pelajar yang memberi sokongan dan harapan kepada kolej itu untuk mendidik anak-anak mereka.
Sementara itu, pelajar lelaki terbaik, Muhamad Yazid Ismail, 21, berkata, dia melalui pelbagai pengalaman berguna sepanjang tiga tahun menuntut di Kolej Shahputra.
Dia yakin segala pengalaman yang diperoleh dapat menjadikannya lebih matang dan bersedia menempuhi alam pekerjaan yang lebih mencabar.
Sepanjang berada di Kolej Shahputra, katanya, dia aktif dalam aktiviti yang dijalankan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Saya aktif bermain futsal dan selalu mengikuti lawatan sambil belajar serta aktiviti lain seperti seminar.
“Selepas ini saya ingin mencari pekerjaan yang sesuai dengan program yang diambil terutama dalam bidang pangkalan data dan rangkaian,” jelasnya yang mengambil Diploma Sains Komputer Multimedia.
Rakannya, Siti Aina Mardiah Mohd. Tamrain, 23, yang mendapat Anugerah Pelajar Terbaik dalam program Diploma Sains Komputer Multimedia turut gembira dengan penganugerahan itu.
“Anugerah ini adalah untuk arwah ayah dan saya sedih kerana dia tiada bersama untuk meraikan kejayaan ini,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.
0 kesah:
Post a Comment